Abu Hurairah ra.
meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Umatku
telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa
yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun
sebelum mereka. Bau mulut daripada seorang Islam
yang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah
daripada bau haruman kasturi. Ikan-ikan di lautan
memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka
sehinggalah mereka berbuka puasa".
Allah mempersiapkan serta menghiasi jannah yang khas
setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya: "Masanya
telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu yang taat
akan meninggalkan segala halangan-halangan yang
besar (di dunia) dan akan mendatangimu."
Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana
dirantaikan supaya tidak menggoda mereka ke arah
maksiat-maksiat yang biasa mereka lakukan pada
bulan-bulan selain Ramadhan. Pada malam terakhir
Ramadhan (orang-orang yang berpuasa ini) akan
diampunkan." Maka sahabat-sahabat Rasulullah SAW pun
bertanya: "Wahai Pesuruh Allah, adakah itu malam
lailatul Qadar?" Dijawab oleh Rasulullah SAW: "Tidak,
tetapi selayaknya seorang yang beramal itu diberi
balasan setelah menyempurnakan tugasnya."
Hadith 2
Ubadah Bin Somit ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah
SAW bersabda pada suatu hari ketika Ramadhan hampir
menjelang: "Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, di
mana Allah melimpah ruahkan di dalamnya dengan
keberkatan, menurunkan rahmat, mengampuni dosa-dosa
kamu, memakbulkan doa-doa kamu, melihat di atas
perlumbaan kamu untuk memperolehi kebaikan yang
besar dan berbangga mengenaimu di hadapan
malaikat-malaikat. Maka tunjukkanlah kepada Allah
Taala kebaikan dari kamu. Sesungguhnya orang yang
bernasib malang ialah dia yang dinafikan daripada
rahmat Allah pada bulan ini."
Hadith 3
Abu Sa'id Al Khudri ra. meriwayatkan bahawa
Rasulullah SAW bersabda: "Setiap hari siang dan
malam pada bulan Ramadhan, Allah Tabaraka wa Taala
membebaskan begitu banyak sekali roh daripada api
neraka. Dan pada setiap orang Islam pada setiap hari
siang dan malam doanya pasti akan diterima."
Hadith 4
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW
bersabda: "Terdapat tiga jenis orang yang doa mereka
tidak ditolak; doa daripada orang yang berpuasa
sehinggalah dia berbuka puasa; imam (penguasa) yang
adil, dan orang yang dizalimi yang kerana doanya itu
Allah mengangkatnya melepasi awan dan membuka
untuknya pintu-pintu langit dan Allah berfirman: "Daku
bersumpah demi kemuliaanKu, sesungguhnya Daku pasti
menolongmu walaupun pada suatu masa nanti."
Hadith 5
Ibn Umar ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW
bersabda: "Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya
mengirim rahmat ke atas mereka yang memakan sahur."
Hadith 6
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW
bersabda: "Barangsiapa berbuka satu hari di siang
hari bulan Ramadhan tanpa alasan yang wajar (disegi
syariah) atau sakit yang kuat, tidak akan dapat
menampung atau mengganti hari tersebut walaupun akan
berpuasa sehingga ke akhir hayatnya."